Friday 10 July 2015

Adik Yaya Mangsa Kes Dera ke-24 Dilapor di Kelantan


Penderaan ke atas kanak-kanak berusia lima tahun, Nur Zuliana Sara adalah kes ke-24 yang dilaporkan kepada JKM Kelantan pada tahun ini.
KOTA BHARU :
Penderaan ke atas kanak-kanak berusia lima tahun, Nur Zuliana Sara atau lebih dikenali sebagai Yaya adalah kes ke-24 yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan pada tahun ini.
Pengarahnya, Mohamad Hanafi Maulud berkata kesemua kes itu termasuklah pengabaian, penderaan fizikal, emosi dan seksual yang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata kebanyakan kes membabitkan mangsa yang berusia 18 tahun ke bawah yang dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual termasuk oleh teman lelaki dan mereka ini masih termaktub di bawah akta berkenaan.
“Mereka yang tergolong menjadi mangsa dera termasuk seksual biasanya akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut.
“Kebanyakan kes yang dilaporkan berlaku di Pasir Puteh (8 kes); Kota Bharu (5) dan Tanah Merah (3),” katanya
Menurutnya tahun lalu sebanyak 47 kes penderaan dilaporkan di seluruh negeri dan majoritinya adalah kes pengabaian, penderaan fizikal dan dera secara seksual.
Mohamad Hanafi berkata sebagai memberi kesedaran kepada masyarakat, jabatan telah mengadakan pelbagai program di daerah-daerah seperti mengambil budak yang berisiko untuk menyertai kem jati diri dan ceramah.
Katanya, program juga turut membabitkan golongan ibu bapa dan anak-anak kerana ianya adalah kebaikan semua pihak.
“Kami percaya punca kes ni berlaku terutama yang membabitkan kes penderaan seksual kanak-kanak kerana tiada pendidikan agama malah ibu bapa tidak mengambil berat gaya hidup anak kerana terlalu sibuk dengan hal masing-masing.

“Ada juga golongan ibu bapa ambil sikap endah tak endah bila mengetahui anak ditimpa masalah seperti yang membabitkan penderaan seksual sehingga mengandung,” katanya.
Katanya ada yang tidak sanggup melaporkan kejadian yang menimpa anak mereka kerana malu dan sanggup meletakkan anak gadis mereka di rumah perlindungan.
Mengulas mengenai kes Yahya, Mohamad Hanafi berkata kes terbabit masih dalam siasatan polis.
Bagaimanapun katanya, JKM akan sentiasa memantau kes terbabit termasuklah memberikan apa sahaja bantuan yang diperlukan termasuk khidmat kaunseling kepada mangsa dan ibu kandungnya yang masih dalam keadaan trauma.


No comments:

Post a Comment