Demi cinta sejati, Faizul sanggup menghabiskan semua wang simpanannya untuk membina replika Taj Mahal bagi memperingati arwah isteri, Tajamulli. |
UTTAR PRADESH, India - Demi cinta yang mendalam terhadap isterinya, seorang lelaki miskin sanggup membelanjakan setiap sen wang simpanannya untuk membina replika Taj Mahal bagi memperingati arwah isterinya.
Portal Daily Mail melaporkan, Faizul Hasan Quadri, 80, dari sebuah perkampungan kecil di Kaser Kalan, Uttar Pradesh, utara India membina replika Taj Mahal itu sejak Februari 2012 di taman di belakang rumahnya, yang juga tempat persemadian isterinya, Tajamulli yang meninggal dunia pada usia 53 tahun.
Tajamulli meninggal dunia akibat kanser mulut.
Bagi Faizul, isterinya merupakan cinta pertama dan terakhirnya.
Pasangan tersebut juga tidak dikurniakan anak.
Bagaimanapun, pembinaan replika yang hampir siap itu terpaksa dihentikan berikutan Faizul kekurangan dana.
Sehingga hari ini, Faizul sudah membelanjakan sebanyak £110,000 pound (RM 725,479).
Walaupun kerajaan negeri, orang ramai, peniaga termasuk jutawan di India menawarkan bantuan untuk membiayai usahanya menyiapkan monumen cintanya itu, namun Faizul menolaknya dengan baik.
Menurut Faizul, dia hanya mahu menggunakan wangnya sendiri bagi menyiapkan Taj Mahal buat isterinya.
“Ketika kerajaan negeri tampil untuk membantu, saya tolak dan memohon kepada mereka agar membangunkan sekolah di kampung kami menggunakan dana yang hendak diberikan kepada saya. Saya rasa itu lebih baik.
“Replika ini khas buat isteri saya, saya akan menggunakan segala kudrat saya yang ada bagi menyiapkan Taj Mahal saya. Sehingga kini, saya telah menjual tanah, membelanjakan wang simpanan serta wang pencen saya, malah barangan kemas isteri saya juga sudah saya jual,” katanya, baru-baru ini.
Faizul berharap ‘Taj Mahal’ mininya dapat disiapkan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Dia juga berharap jasadnya dapat disemadikan bersebelahan kubur isteri tercintanya selepas dia meninggal dunia.
Taj Mahal merupakan simbol cinta agung Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal yang mula dibina pada 1632 dan siap sepenuhnya pada 1648.
Faizul Hasan Kadari membina replika Taj Mahal untuk isterinya Begum Tajmulli yang meninggal dunia pada tahun 2011. |
Faizul Hasan Kadari dengan gambar isterinya, Begum Tajmulli |
No comments:
Post a Comment