Monday, 11 May 2015

Pesawat MH192 Mendarat Cemas di KLIA


Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH192 dalam perjalanan ke Bangalore, India yang terpaksa berpatah balik kerana berdepan masalah kerosakan gear selepas tayarnya terbakar selamat melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.56 pagi tadi.

MAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jam 3.18 pagi tadi berkata, syarikat tersebut mengesahkan punca kerosakan adalah kerana tayar di bahagian kanan utama gear pendaratan pesawat terbakar semasa berlepas.

"Kawalan Udara Trafik Kuala Lumpur memberi amaran kepada kapten juruterbang selepas serpihan tayar ditemui di landasan.

"Pusat Operasi Kawalan Malaysia Airlines (OCC) kemudiannya dihubungi pada jam 10.25 malam. Atas dasar keselamatan, pesawat itu diarahkan untuk berpatah balik," kata kenyataan itu.



Jabatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dikerahkan ke KLIA sejurus selepas juruterbang diarahkan berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan.

Berita mengenai MH192 berlegar-legar di udara mula tersebar luas di media sosial dan disahkan oleh MAS dalam satu kenyataan rasmi.

"Malaysia Airlines mengesahkan pesawat MH192 yang berlepas dari KLIA pada 10.09 malam ke Bangalore, India berpatah balik ke Kuala Lumpur.

"Pesawat itu mengalami masalah gear sebelah kanan tidak berfungsi dan dijangka melakukan pendapatan kecemasan kira-kira jam 2 pagi ini," kata MAS dalam kenyataan pertamanya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan reaksi kelegaan berhubung insiden tersebut.

"Semua penumpang selamat, Alhamdullilah apa pun saya kini bersiap-siap untuk turun ke (KLIA)," katanya di akaun Twitter @HishammuddinH20.

Pesawat MH192 jenis B737-800 berlepas dari KLIA pada 10.09 malam dan sepatutnya mendarat di Bangalore kira-kira jam 11.32 malam pada hari sama. MAS melakukan penjadualan semula penerbangan itu yang akan berlepas dari KLIA pada 3.30 petang ini dan dijangka sampai ke Bangalore pada jam 5 petang hari ini.

Pesawat MH192 kelihatan di KLIA apabila berjaya mendarat dengan selamat awal pagi tadi selepas terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum melakukan pendaratan kecemasan.

Pesawat MH192 kelihatan di KLIA apabila berjaya mendarat dengan selamat awal pagi tadi selepas terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum melakukan pendaratan kecemasan.

Pesawat MH192 membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal dan mereka kini ditempatkan di hotel berdekatan dengan KLIA.

Kerosakan pesawat MAS bukan kali pertama dilaporkan sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Semasa operasi mencari dan menyelamat MH370 sedang giat dilakukan, pada 24 Mac, pesawat MH066 yang terbang dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan terpaksa membuat lencongan ke Hong kong disebabkan masalah generator tidak berfungsi.

Tiga hari sebelum itu, pesawat MH114 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu terlanggar sekumpulan burung ketika berada berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.

Selepas mendarat, pesawat itu diperiksa oleh jurutera bertugas dan didapati lampu pesawat itu pecah lapor The Malaysian Insider.







No comments:

Post a Comment